Annuar Musa pada Majlis Penyerahan Watikah Penubuhan Komuniti Keluarga Malaysia Zon Tengah Johor di Kluang malam ini.

KLUANG – Perbezaan fahaman politik tidak akan menghalang matlamat penubuhan Komuniti Keluarga Malaysia untuk memasarkan maklumat dan dasar kerajaan selain memupuk perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, proses pilihan raya seperti yang akan diadakan di Johor hanya bersifat sementara.

Namun jelasnya, proses menjayakan Komuniti Keluarga Malaysia merupakan misi jangka panjang.

Pilihan Raya Johor hanya berlaku dalam tempoh 14 hari sahaja dan selepas itu semua pihak kena bekerjasama semula sebagai satu masyarakat dan meneruskan agenda membangunkan kerajaan.

“Jadi, saya nampak mereka ada peranan yang lebih besar dan seharusnya melangkaui fahaman kepartian. Komuniti Keluarga Malaysia merupakan elemen kekal dan menjadi tunjang kekuatan dalam sesebuah institusi,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah penubuhan Komuniti Keluarga Malaysia Zon Tengah Johor di Kluang malam ini.

Annuar berkata, sebanyak 45 Komuniti Keluarga Malaysia dari tujuh Parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri Johor terdapat di Johor dengan setiap wakil menerima peruntukan RM3,000.

“Setiap Keluarga Malaysia juga diberikan bantuan untuk mereka menjalankan aktiviti dan selain itu mereka boleh bekerjasama dengan mana-mana agensi untuk adakan kegiatan.

“Yang pentingnya, kita nak melihat komuniti ini menjayakan konsep komuniti merupakan satu yang sangat penting pada masa ini,” ujarnya.

Menurut Annuar, antara lain mereka dapat membantu merapatkan perhubungan masyarakat akar umbi dan dapat menyalurkan maklumat kerajaan dan menyampaikannya kepada rakyat.

Selain itu menganjurkan aktiviti yang bersemangat patriotisma dan juga turut menjayakan program digital untuk menggalakan penyertaan digital dalam kalangan industri mikro kecil dan sederhana.

“Selain itu bekerjasama dengan agensi lain untuk semarakan misi yang ingin kita bawa selari dengan ekonomi digital,” katanya.-MalaysiaGazette