logo polis
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik bengkel cedera akibat dipukul seorang lelaki warga Myanmar dalam kejadian di Taman Perindustrian Hata, Pandan Mewah dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian sekitar pukul 3.20 petang itu, suspek secara tiba-tiba bertindak memukul pengadu menggunakan besi pada bahagian kepala dan tangan.

Menurut beliau, sepasukan anggota yang menerima maklumat mengenai kejadian itu kemudiannya bergegas ke lokasi dan berjaya menangkap suspek dan merampas besi yang digunakan untuk memukul mangsa.

“Selain memukul pengadu, suspek turut memecahkan tiga cermin kereta milik pelanggan di bengkel itu.

“Suspek telah beberapa kali datang ke bengkel itu untuk memohon kerja tetapi pengadu tidak mengambilnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek yang berusia 31 tahun itu merupakan seorang pemegang kad kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Jelas beliau, punca kejadian dipercayai berlaku akibat perselisihan faham antara suspek dan pemilik bengkel berhubung tawaran kerja.

“Permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama empat hari bermula hari ini dan siasatan lanjut masih diteruskan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette