LONDON – Ribut Atlantik melanda barat laut Eropah pada hari Jumaat membawa angin selaju 196 kilometer sejam, mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang mangsa, selain menyebabkan bekalan elektrik terputus.
Pejabat Meteorologi Britain berkata, Ribut Eunice yang datang di tengah Atlantik dan berpusing dari Azores menuju ke Eropah mendatangkan bahaya kepada seluruh hidupan.
Seorang wanita maut di London apabila kereta yang dinaikinya dihempap pokok dan seorang lelaki yang sedang memandu di Liverpool maut akibat mengelak terkena serpihan yang berterbangan.
Seorang lagi lelaki turut terkorban selepas melanggar pokok tumbang di daerah Hampshire di selatan England.
Di Belanda, empat orang terbunuh akibat pokok tumbang.
Manakala di Belgium, angin kencang menyebabkan sebuah kren tumbang di atas bumbung hospital dan seorang lelaki Britain maut selepas botnya terbalik.
Seorang lelaki maut di Ireland dihempap pokok tumbang ketika membersihkan serpihan ribut, lapor RTE.
Angin kencang di London menghancurkan bumbung berkubah putih arena O2 yang menjadi lokasi acara hiburan.
Bangunan-bangunan tinggi di London pula dilaporkan bergegar apabila angin bertiup kuat melalui Canary Wharf.
Di Wales, ombak menghempas persiaran Aberystwyth setinggi rumah.
Pokok-pokok besar pula tumbang menyebabkan lebih 100,000 orang penduduk terputus bekalan elektrik.
”Ribut Eunice benar-benar mencemaskan,” kata Ketua Meteorologi, Frank Saunders.
Menurutnya, angin kencang selaju 196 kilometer sejam direkodkan di The Needles on the Isle of Wight, sementara rekod hembusan paling kuat pernah direkodkan di England. – Agensi
















