Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan. Foto AIZAT ZAINAL, 11 OGOS 2026.

KUALA SELANGOR – Seorang lagi juruterbang tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung penahanan seorang pembantu juruterbang rakyat Malaysia di Jakarta pada Julai lalu kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan pada Isnin lalu di Lembah Klang.

Beliau berkata suspek bertanggungjawab menguruskan hasil jualan dadah.

“Jadi, setakat ini kita telah menahan tujuh individu dan suspek (yang ditahan pada Isnin) merupakan juruterbang daripada syarikat penerbangan lain,” katanya pada sidang media di sebuah kawasan perindustrian di Puncak Alam di sini hari ini.

Pada Jumaat (4 Sept), Hussein dipetik sebagai berkata bahawa polis menahan enam lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikaitkan dengan penahanan seorang pembantu juruterbang rakyat Malaysia di Jakarta pada Julai lalu.

Beliau berkata tangkapan itu dibuat berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pembantu juruterbang berusia 39 tahun berkenaan ketika disoal siasat oleh pasukan JSJN yang dihantar ke Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos.

Media sebelum ini melaporkan pembantu juruterbang rakyat Malaysia berusia 39 tahun itu ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kerana disyaki cuba menyeludup 25 kilogram (kg) dadah.

Polis Nasional Indonesia (POLRI) dilaporkan menemukan 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM45 juta.

Dalam perkembangan berasingan, Hussein berkata berdasarkan risikan yang diperoleh, polis menjalankan lima serbuan menerusi Op Melanoplus dan menahan sembilan individu di sekitar Lembah Klang pada 21 Ogos.

Beliau berkata suspek, termasuk dua wanita, berusia antara 19 dan 33 tahun.

“Polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk 61.26kg cecair methylenedioxymethamphetamine (MDMA), pil ekstasi (0.79kg), bunga ganja (6.09kg), pil Erimin 5 (3.80kg), ganja (11.13kg), methamphetamine (3.25kg), biskut dicampur ganja (870 gram), ketamin (490 gram) dan serbuk MDMA (480 gram).

“Polis turut merampas 959 kartrij cecair MDMA, dengan nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM10.82 juta dan berat keseluruhan melebihi 86kg,” katanya.

Mengulas lanjut, Hussein berkata seorang daripada suspek didakwa mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 28 Ogos, manakala tiga lagi didakwa mengikut Seksyen 39B akta sama pada 3 Sept.

Beliau berkata tiga lagi suspek dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis. -BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here