Suhakam

 

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu segera melaksanakan langkah efektif membasmi dan menangani amalan buruh paksa yang sedang berlaku di Malaysia atau yang melibatkan syarikat Malaysia susulan pengeluaran beberapa Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat kepada syarikat-syarikat di negara ini.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang bimbang terhadap isu berpanjangan buruh paksa di Malaysia yang mendapat laporan meluas media tempatan dan luar negara berkata, buruh paksa adalah pencabulan hak asasi manusia yang serius dan melanggar jaminan peruntukan di bawah Perkara 6 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang melarang segala bentuk perhambaan dan kerja paksa.

Amalan sebegini juga bercanggah dengan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) yang menjenayahkan kerja paksa sebagai satu bentuk eksploitasi terhadap manusia.

Suhakam, katanya, menyambut baik pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025 yang pertama di Malaysia pada 2021 untuk menangani dan membasmi buruh paksa.

Standard yang ditetapkan oleh Protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 2014 kepada Konvensyen Buruh Paksa 1930 yang akan diratifikasi oleh Malaysia, harus menjadi kayu ukur NAPFL.

Di samping itu, Suhakam menggesa natijah yang lebih nyata dicapai dengan segera, termasuk pembaharuan undang-undang dan remedi.

SUHAKAM berharap agar NAPFL kritis menangani, antaranya, keperluan yang lebih ketat bagi syarikat untuk melaksanakan usaha wajar yang efektif dan mekanisma aduan, khususnya dalam amalan pekerjaan mereka.

”Walau apa jua peruntukan undang-undang yang akan dikuatkuasakan oleh kerajaan, syarikat swasta mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang buruh kebangsaan dan standard buruh antarabangsa bagi memastikan pematuhan hak asasi manusia di seluruh rangka kerja rantaian bekalan mereka dan perlu segera menjadi contoh terbaik dalam pematuhan standard hak asasi manusia dan buruh antarabangsa.

”Ini juga bagi menangani pelbagai sektor termasuk industri bekalan perubatan, pertanian (termasuk perladangan), pembinaan dan sektor pembuatan,” katanya.

Suruhanjaya ini turut mengulangi seruan kepada kerajaan untuk memastikan ketelusan dengan mengumumkan laporan penuh Jawatankuasa Bebas Khas Pengurusan Pekerja Asing.

Kerajaan juga perlu mempercepatkan pelaksanaan saranan jawatankuasa yang mengambil kira isu amalan tidak beretika, tidak sihat dan tidak adil dalam pengambilan pekerja asing termasuk keperluan untuk pengambilan pekerja asing dijalankan telus dengan memperkenalkan sistem dalam talian sepenuhnya.

Bagi memastikan langkah-langkah jangka panjang ini berjaya dilaksanakan, Suhakam berkata, kerajaan digalakkan untuk mengadakan perundingan yang lebih bermakna dengan pihak berkepentingan termasuk badan-badan bukan kerajaan. – MalaysiaGazette