Datuk Seri Saifuddin Abdullah

KUANTAN – Susulan pergolakan dalaman krisis politik dan kemanusiaan di Myanmar, Malaysia menyarankan Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn yang juga Pengerusi ASEAN berjumpa wakil Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Sokhonn dijangka melawat Myanmar pada Mac ini bagi bagi mencari penyelesaian secara aman.

Selain itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu juga menyarankan agar Sokhonn bertemu Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC).

“Cadangan tersebut telah dibangkitkan pada 17 Februari selepas menghadiri sesi Pemukiman Menteri Luar ASEAN di ibu kota Kemboja, Phnom Penh.

“NUCC terdiri daripada Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), Ahli Parlimen yang dipilih, parti politik, Kumpulan Perwakilan Negeri Sementara, masyarakat sivil dan bukan kumpulan bantahan ganas, dan kumpulan bersenjata

“Kita juga mencadangkan Prak Sokhonn untuk memberi perhatian kepada hasil resolusi Perhimpunan Rakyat Myanmar yang telah bersidang pada 27 hingga 29 Januari lalu,” katanya.

Saifuddin berkata demikian selepas merasmikan kejohanan bola keranjang pantai 3 lawan 3 di tepi Pantai Beserah, di sini, hari ini.

Saifuddin membuat balingan ketika sesi latihan Bola Keranjang Pantai 3 lawan 3 membabitkan 50 pasukan beraksi dalam tiga kategori di tepi Pantai Beserah hari ini

Tambah beliau, saranan itu dibuat mengikut konsensus 5 perkara ASEAN (5PC) mengenai Myanmar.

“Ia melibatkan tentang perkara menamatkan keganasan; mengadakan perbincangan yang membina di kalangan semua pihak berkepentingan;

“ASEAN menyediakan bantuan kepada Myanmar; Duta Khas ASEAN dilantik untuk mengendalikan rundingan; dan utusan dibenarkan melawat negara itu,” katanya. – MalaysiaGazette