Penggunaan katil bagi kes kritikal di seluruh negara semalam menunjukkan bawah 50 peratus.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat perbezaan antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes kategori 1 hingga 5 yang baharu didiagnosa setiap hari.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, ini memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti virus itu.

Misalnya, kata beliau, semasa didiagnosa, mungkin pesakit tersebut berada pada kategori 2A dan diisolasi di rumah menggunakan digital Home Surveilance Order (HSO).

Namun, katanya, status kesihatan mereka merosot ke kategori 3, lalu memerlukan kemasukan ke hospital.

“Pada masa sama, terdapat kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital secara pre-emptive.

“Semalam, kes Covid -19 yang dimasukkan ke hospital adalah 1,521 kes iaitu 548 kes adalah kategori 3, 4, dan 5 serta 973 kes lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya dalam kenyataan kepada media, pagi ini.

Bagi penggunaan kapasiti katil Covid-19 di hospital dan PKRC semalam, bilangan pesakit katil bukan ICU dan ICU meningkat, manakala pesakit PKRC pula menurun.

Penggunaan katil kes kritikal atau ICU di tiga negeri ialah Johor 70 peratus, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (64 peratus) dan Kelantan (50 peratus) menunjukkan peratusan pengisiansama atau melebihi 50 peratus.

Begitu juga katil bukan ICU di 10 negeri iaitu Selangor (95 peratus), Kelantan (93 peratus), WP Putrajaya (92 peratus), Perlis (90 peratus), Sabah (82 peratus), Johor (82 peratus), WP Kuala Lumpur (72 peratus), Perak (70 peratus), Pahang (55 peratus) dan Pulau Pinang (50 peratus) menunjukkan peratusan pengisian lebih atau sama 50 peratus.

Katil di Pusat Kuarantin dan PKRC di lapan negeri iaitu Selangor (83 peratus), Terengganu (59 peratus), Sabah (58 peratus), Perak (58 peratus), Melaka (53 peratus), Negeri Sembilan (51 peratus), Perlis (51 peratus) dan Kelantan (51 peratus) menunjukkan peratusan pengisian lebih atau sama 50 peratus).

Manakala pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat kepada 130 orang dan peratusan penggunaannya 37 peratus.

“Jika dibandingkan dengan data kapasiti keseluruhan katil di fasiliti kesihatan awam, sememangnya didapati terdapat perbezaan.

“Ini kerana data kapasiti dan penggunaan adalah termasuk juga untuk kes Covid-19 dan kes bukan Covid-19.

“Secara keseluruhannya, setakat ini kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes Covid-19 dan bukan Covid-19,” katanya.

Namun, kata Dr. Noor Hisham, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya didapati kapasiti fasiliti semakin penuh. – MalaysiaGazette