Peserta konvoi RAC mengadakan perjumpaan membincangkan program yang akan dirasmikan Ketua Polis Ampang Jaya, pagi esok.

KUALA LUMPUR – Jauhkan diri daripada pengaruh dadah dan alkohol serta sentiasa mengawasi pengguna jalan raya lain, antara syarat yang harus diberikan penekanan kepada peserta konvoi.

Selain itu, setiap peserta perlu memastikan kenderaan masing-masing iaitu kereta atau motosikal berada dalam keadaan baik sebelum menyertai sebarang program konvoi.

Demikian beberapa penekanan yang dianjurkan polis kepada mana-mana persatuan, kelab atau badan bukan kerajaan (NGO) yang hendak menganjurkan konvoi jelajah daerah, negeri mahupun negara.

Taklimat mengenai penekanan dan syarat itu dijangka disampaikan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak kepada 26 peserta konvoi motosikal 2222 km Kelab Aktiviti Lasak Repin Hulu Kelang (RAC), pagi esok.

Konvoi hari pertama bermula di Dataran Kabin Kampung Pasir, Hulu Kelang pada jam 8 pagi Selasa ke Tanjung Genting, Mersing, sebelum ke destinasi seterusnya dan kembali ke Kuala Lumpur pada hari keenam, 27 Februari ini.

Jarak konvoi sejauh 2,222 kilometer itu turut singgah di Paka, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Gerik, Perak; Yan, Kedah; Padang Besar, Perlis; sebelum tamat di Dataran Kabin Kampung Pasir, Hulu Kelang kira-kira jam 7 malam.

Konvoi jelajah Semenanjung Malaysia sejauh 2,222 kilometer bermula 22 hingga 27 Februari 2022.

Semua peserta program jelajah Semenanjung Malaysia itu menunggang motosikal berkuasa rendah di bawah 250cc yang melibatkan semua peringkat umur.

“Seramai 26 peserta telah berdaftar untuk program ini dan mereka rata-ratanya berpengalaman dalam aktiviti lasak.

“Mereka akan melakukan tunggungan motosikal sejauh 2,222 kilometer selama enam hari yang juga telah diberi taklimat mengenai jarak serta masa tunggungan iaitu selama lapan jam sehari serta jarak tidak lebih daripada 400 kilometer sehari.

“Program ini boleh menjadi contoh kepada kumpulan konvoi bermotor lain iaitu menjalankan aktiviti bermotor berkumpulan yang tidak memerlukan marshall dengan cara pengurusan serta perancangan perjalanan berjadual,” kata urusetia RAC.

Menurutnya, peserta juga ditekankan dengan melatih serta membimbing peserta muda dan peserta yang kurang pengalaman.

Kerjasama dalam berkumpulan dititik beratkan dengan beberapa penekanan seperti persiapan diri dengan kesihatan yang baik, disiplin dalam mengatur masa, tumpuan pada jadual perjalanan yang disediakan serta mematuhi peraturan jalan raya dan lalu lintas.

Penekanan konvoi juga turut mengambil kira sentiasa berjaga-jaga walaupun lampu isyarat hijau, pastinya jauh dari pengaruh dadah dan alkohol. – MalaysiaGazette