Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjadikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sebagai tempat pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada SPR susulan semua sekolah di Johor tidak lagi dibenarkan dijadikan sebagai tempat mengundi.

“SPR adalah sebuah badan bebas yang diberi kuasa untuk mengendalikan pilihan raya

“Saya fikir kalau ada permohonan daripada SPR, kita sebenarnya tiada masalah untuk kita bekerjasama dengan SPR,” katanya pada sidang media di Hotel Premiera, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memohon kepada SPR untuk tidak membenarkan sekolah menengah digunakan sebagai tempat membuang undi pada PRN Johor.

Menterinya, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya tidak mahu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 29 Mac ini terganggu. – MalaysiaGazette