Program Jualan Keluarga Malaysia dijenama semula sebagai Jualan Murah Keluarga Malaysia dan diperluskan ke 600 DUN dengan peruntukan RM80 juta dan RM25,000 setiap DUN melaksanakan PJMKM sehingga 31 Disember 2022.

KUALA LUMPUR – Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) diperluaskan ke kawasan Parlimen luar bandar dengan harga barang keperluan 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat keputusan itu selepas menerima sambutan menggalakkan daripada peniaga dan pengguna sejak program tersebut dilancarkan pada 2 Disember lalu.

“Maklum balas pengguna yang diterima rata-rata menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala dan mengakui bahawa harga barang-barang yang dijual dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi harga barang yang dilaporkan kian meningkat,” kata kementerian berkenaan menerusi kenyataan.

Sejak dilancarkan sehingga 14 Februari lalu, seramai seramai 1,181,376 orang mengunjungi PJKM di 775 lokasi seluruh negara dengan nilai jualan direkodkan meebihi RM22.85 juta.

Sementara itu, penyertaan dalam kalangan pembekal, pemborong dan peruncit juga amat menggalakkan dalam membantu usaha kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup.

PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga berpatutan antaranya ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung dan beras.

PJKM dijalankan setiap minggu secara serentak di seluruh negara di kawasan parlimen di lokasi-lokasi yang berdekatan dengan golongan sasaran iaitu B40 dan M40, selama dua hari pada hujung minggu mengikut negeri. – MalaysiaGazette