Semakan boleh dibuat secara atas talian mulai semalam.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mewartakan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bulan Disember 2021 pada 14 Januari lalu dan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2021 pada 17 Januari lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat SPR, bermula daripada tarikh pewartaan itu, DPT 2021 dan DPI 2021 terbuka untuk disemak.

Katanya, semakan secara dalam talian boleh layari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my; pautan https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak dan portal rasmi pejabat-pejabat SPR negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.

Di samping itu, SPR juga menyediakan kemudahan semakan di pautan https://myspr.spr.gov.my, di mana pemilih berdaftar yang mempunyai akaun MySPR boleh menyemak senarai nama pemilih dalam DPT 2021 bagi bahagian pilihan rayanya.

“Selain itu, sebagaimana diperuntukan di bawah Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, SPR juga dibenarkan menjual daftar pemilih termasuk DPT 2021 dan DPI 2021 hardcopy dan softcopy.

“Daftar pemilih softcopy boleh didapatkan dalam dua format berbeza iaitu format portable document format (pdf) atau format microsoft access (mdb) dengan kadar harga yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini.

Kenyataan itu juga menyatakan, daftar pemilih boleh dibeli melalui ibupejabat SPR di Putrajaya atau di semua Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Bagi maksud Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor ke-15, SPR telah mengumumkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) mula dijual mulai semalam di ibupejabat SPR, Putrajaya dan Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor.

“SPR sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab serta fungsinya dan salah satu urusan penyediaan daftar pemilih yang kini diperakukan dan diwartakan secara bulanan,” kata kenyataan itu.

SPR menegaskan, pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara Malaysia mencapai umur 18 tahun dan ke atas adalah berdasarkan maklumat warganegara yang diterima daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

SPR menasihatkan semua bakal pengundi PRU Dewan Negeri Johor ke-15 untuk membuat semakan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau aplikasi mudah alih MySPR Semak atau menelefon ke talian 03-8892 7018 melalui aplikasi MySPR Semak.

Katanya, semakan boleh dibuat mulai semalam, 21 Februari. – MalaysiaGazette