Zulkhairi Zainol Abidin

KUANTAN – Seramai 222 peserta menghadiri bengkel Program Pahang Memperkasa Orang Kurang Upaya selama dua hari bagi menambah baik dan memperluaskan pelaksanaan 52 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di negeri ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan (JKM) Pahang berkata, program belangsung selama dua hari pada 22 dan 23 Februari dihadiri oleh pengerusi, penyelia, petugas PPDK dan kakitangan JKM dan jemputan dari agensi agensi kerajaan dan swasta.

“OKU adalah salah satu kumpulan sasaran Jabatan Kebajikan Masyarakat dan salah satu tunjang dalam aspek pemulihan OKU ialah PPDK,” ujarnya.

Antara pengisian termasuk Bengkel Perancangan Strategik PPDK Pahang Tahun 2022, Mesyuarat Penaja Majlis Penasihat Orang Kurang Upaya, Majlis Perasmian Pahang Memperkasa Orang Kurang Upaya dan Pelancaran Pahang Pride OKU.

Jelasnya sehingga November 2021, sebanyak 1,278 pelatih OKU mendapat manfaat daripada 52 buah PDK di seluruh Pahang dengan seramai 52 orang Penyelia dan 224 orang Petugas.

“JKM Pahang telah menerima geran pengoperasian 52 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti sebanyak RM6,861,613 bagi tempoh Mac 2021.

“Manakala seramai 13,481 orang kurang upaya di negeri ini telah dibantu melalui tiga skim bantuan JKM bagi tahun 2021 yang melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM64,485,600,” katanya ketika ditemui.

Berdasarkan Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya JKM, seramai 36,304 orang telah berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya di seluruh Pahang sehingga 31 Disember 2021. – MalaysiaGazette