KKM mengesahkan sebuah video yang mendakwa pelajar sekolah mengalami reaksi selepas divaksinasi sebagai mesej palsu.

KUALA LUMPUR –  Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sebuah video yang mendakwa pelajar sekolah mengalami reaksi selepas divaksinasi sebagai mesej palsu.

Berdasarkan hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi KKM, ia merupakan sebuah video yang dikongsi semula menerusi aplikasi WhatsApp dengan memaparkan seorang pelajar lelaki memakai uniform sekolah menengah terbaring bersama mesej ‘Tengok ni! Kejadian di sekolah yg disembunyikan KKM. Ramai teruk lepas kena vaksin cobid’.

“KKM ambil maklum bahawa terdapat penyebaran video palsu yang menyatakan pelajar-pelajar mengalami reaksi selepas divaksinasi.

“Untuk makluman, video tersebut adalah video lama berkaitan kejadian keracunan gas di sebuah sekolah di Pasir Gudang Johor pada tahun 2019.

“Orang awam diminta untuk tidak menyebarkan maklumat palsu ini,” katanya hari ini.

Menerusi hantaran sama, KKM turut berkongsi pautan asal kepada video yang telah ditular itu sebagai makluman kepada orang awam.

Video berdurasi lima minit enam saat itu dipercayai merupakan rakaman dari insiden keracunan kimia kritikal di Pasir Gudang, Johor bertarikh 14 Mac 2019. – MalaysiaGazette