Senator Datuk Idris Ahmad.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Arab Saudi masih belum memanggil mana-mana negara termasuk Malaysia bagi membincangkan ibadat haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan akan meminta kuota jemaah haji dikekalkan seperti sebelum ini sekiranya Arab Saudi membenarkan jemaah haji dari negara lain melakukan ibadah itu pada Julai ini.

“Setakat hari ini daripada pihak kerajaan Arab Saudi belum memanggil mana-mana negara berbincang operasi haji tahun ini.

“Kalau dipanggil kita bincang dengan sebaik mungkin dan kita akan minta kuota dikekalkan,” katanya pada sidang media. Pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji (TH) bagi tahun 2021, di sini, hari ini.

Baru-baru ini Idris berkata, TH akan tetap membuat persediaan bagi jemaah Malaysia mengerjakan ibadat haji meskipun wujud kebimbangan susulan peningkatan kes Covid-19 yang berpunca daripada varian Omicron.

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan jemaah haji yang telah terpilih ke Tanah pada Julai depan berikutan khuatir sempadan negara kembali ditutup. – MalaysiaGazette