Dewan Seri Mahkota, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Semerah

SEMERAH – Dewan Seri Mahkota, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini sudah bersedia untuk digunakan sebagai pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah esok.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, kesemua kerusi telah diatur ditempat-tempat tertentu di luar dewan.

Sebanyak tiga buah khemah turut didirikan di luar pekarangan bangunan dan salah sebuah daripadanya akan digunakan sebagai tempat makan.

Bagaimanapun, tidak terlihat kelibat seorang pun pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu pun sesiapa di bangunan tersebut dan kesemua pintu masuk dewan berkunci rapi.

Seorang pengawal keselamatan yang menjaga pintu masuk institusi pendidikan berkenaan dan enggan dikenali memberitahu, pegawai SPR telah meninggalkan bangunan tersebut sejak tengahari tadi selepas segala urusan berkaitan penamaan esok telahpun selesai.

Katanya, beberapa anggota polis dari Bukit Aman juga telah datang untuk membuat pemantauan di pusat penamaan itu  tengahari tadi.

Sementara itu, Pegawai Pengurus Pusat Penamaan dan Penjumlahan Undi DUN Semerah, Ezahar Abu Sairin ketika dihubungi memaklumkan, segala persediaan untuk hari esok di pusat berkenaan telah diselesaikan hari ini.

Ujarnya, ketika ini bangunan itu dikosongkan bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Pintu utama Dewan Seri Mahkota, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)

Tambahnya, polis akan menutup kawasan pusat berkenaan bermula pukul 7 petang ini dan akan dibuka semula pada pukul 8 pagi esok.

Seramai lima calon daripada lima parti dijangka menghantar borang pencalonan masing-masing pagi esok.

Calon-calon berkenaan adalah Datuk Ariss Samsudin (Perikatan Nasional);  Mohd Fared Mohd Khalid (Barisan Nasional);  Mohd Khuzzan Abu Bakar(PKR); Mahdzir Ibrahim (Pejuang) dan Prof Madya Dr Kamarolzaman Mohd Jidi (Putra).

Kerusi DUN Semerah dianggap kerusi panas pada PRN Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac ini.

Khuzzan memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum – 14 yang lalu dengan majoriti hanya 98 undi. – MalaysiaGazette