Adib Raop mengalami pendarahan di hidung selepas dilaporkan ditumbuk ketika insiden pergaduhan melibatkan aksi persahabatan skuad Harimau Kumbang menentang Terengganu FC II (TFC II) di Kuala Terengganu baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Dua tonggak utama Penang FC, Endrick Dos Santos dan Casagrande Da Silva antara pemain yang didapati bersalah dan bakal menerima hukuman susulan pergaduhan pada Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru merebut Piala YAB Menteri Besar Terengganu 2022 baru-baru ini.

Hukuman yang dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu menyaksikan Endrick digantung dua minggu manakala Casagrande menerima hukuman selama sebulan.

Selain itu, dua pemain Terengganu II iaitu Muhd Aqil Irfanuddin Mohd Sabri dan Mohammad Ridzuan Mohd Razali turut menerima nasib yang sama.

Lebih malang buat Ridzuan apabila dia berdepan penggantungan selama dua bulan berbanding hanya sebulan kepada Aqil.

Hukuman bagi keempat-empat pemain tersebut juga tidak boleh dirayu.

Sementara itu, Terengganu FC II turut didenda RM10,000 manakala Penang FC didenda RM5,000 serta kedua-dua pasukan diberi hukuman keras. – MalaysiaGazette