Vikneswaran didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang atas pertuduhan menganggotai kongsi gelap Geng 04.

BUKIT MERTAJAM – Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menganggotai kongsi gelap Geng 04 pada 14 Februari lalu.

Tertuduh, S. Vikneswaran, 26, membuat pengakuan tersebut selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu Geng 04 yang diwartakan sebagai pertubuhan menyalahi undang-undang di bawah peruntukan Seskyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 pada 14 Februari lalu jam 11.30 malam di tepi Jalan Kampung Manis Perai.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani meminta mahkamah menetapkan jaminan RM9,000 dan seorang penjamin namun peguam yang mewakili tertuduh meminta jaminan dikurangkan susulan anak guamnya merupakan pekerja kilang dengan pendapatan bulanan RM1,100.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta 5 April depan bagi sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan berkenaan. – MalaysiaGazette