Idris Ahmad
Idris Ahmad

TAIPING – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad akan mengadakan perbincangan meja bulat susulan kes penukaran agama sebelah pihak membabitkan tiga anak ibu tunggal, Loh Siew Hong.

Beliau berkata, perbincangan akan disertai pakar undang-undang, pensyarah dan beberapa mufti pada Rabu depan.

“Saya akan memanggil pakar undang-undang, pensyarah dan mufti bagi mencari penyelesaian kes seumpama ini melalui perbincangan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 di sini hari ini.

Isnin lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan tiga adik-beradik itu yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada Loh selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Sementara itu, Idris berkata pihaknya sedang merancang untuk menyediakan perkhidmatan Internet secara percuma di sekitar kawasan Bukit Gantang termasuk surau dan Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi kegunaan pelajar daripada keluarga B40. – Bernama