Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30,644 kes positif Covid-19 dilaporkan semalam, kurang 1,426 kes berbanding Khamis.

Daripada jumlah berkenaan, 30,387 kes merupakan kes tempatan manakala selebihnya adalah kes import.

Perkembangan terkini jangkitan Covid-19 ini membawa kepada jumlah keseluruhan kes positif jangkitan virus itu meningkat kepada 3,367,871.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes aktif pula adalah 294,430.

“Daripada 30,644 kes harian yang dilaporkan semalam, sebanyak 156 kes (0.51 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 30,488 kes (99.49 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, daripada jumlah jangkitan yang direkodkan semalam, 33 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 77 lagi telah menerima dua dos vaksin Covid-19 namun belum menerima dos penggalak.

Menurut beliau, Selangor menjadi negeri tertinggi yang merekodkan jangkitan terbaharu semalam iaitu 7,290 kes diikuti dengan Sabah (4,256).

Manakala Kedah (2,621); Penang (2,531); Johor (2,369); Kuala Lumpur (2,081); Kelantan (1,836); Pahang (1,645); Negeri Sembilan (1,589) dan Perak (1,578).

Negeri yang mencatatkan jangkitan Covid-19 kurang daripada 1,000 pula adalah Terengganu (787); Melaka (731); Sarawak (460); Labuan (441); Perlis (273) dan Putrajaya (156).

Katanya, kadar kebolehjangkitan (Rt) virus berkenaan yang terkini adalah 1.11.

Sementara itu Noor Hisham berkata, sebanyak 22,678 kes sembuh semalam menjadikan jumlah terkini adalah 3,040,850 kes.

Kes positif Covid-19 yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula sebanyak 332 dengan 196 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, sebanyak lima kluster baharu yang dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam.-MalaysiaGazette