Presiden Vladimir Zelenskyy. Foto: TASS

ISTANBUL – Rusia cuba menggempur ibu negara Ukraine, Kyiv hari ini dan presiden negara itu berikrar untuk menentangnya, kata Volodymyr Zelenskyy seperti dilapor media.

Rusia akan menggunakan ‘semua tentera yang ada untuk mematahkan tentangan. Keji, kejam, dan tidak berperikemanusiaan’, kata Zelenskyy menerusi rakaman video di laman Facebook seperti dilaporkan agensi berita, Ukrinform.

“Malam ini mereka akan menyerbu. Sejujurnya saya katakan malam ini akan lebih sengit daripada siang.

“Banyak bandar diserang – Chernihiv, Sumy, Kharkiv – warga kami di Donbas, bandar-bandar di selatan khususnya Kyiv. Kita tidak boleh kehilangan ibu negara.

“Takdir Ukraine akan ditentukan sekarang,” ujar Zelenskyy seperti dipetik agensi berita, Anadolu.

Pencerobohan tentera Rusia di Ukraine masuk hari ketiga dengan laporan terbaharu menyatakan tentera Rusia mara ke Kyiv dari beberapa arah.

Pada Khamis lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan campur tangan tentera selepas negara itu mengiktiraf dua kawasan yang dikuasai puak pemisah di timur Ukraine.

Beliau mendakwa Moscow tidak mempunyai rancangan untuk menakluk negara jirannya itu namun memberi amaran untuk ‘mengurangkan kekuatan dan pengaruh tentera’ Ukraine.

Zelenskyy yang menuduh Rusia cuba mewujudkan kerajaan boneka berkata, rakyat Ukraine akan mempertahankan negara mereka daripada serangan musuhnya itu. – Agensi

(https://www.aa.com.tr/en/russia-ukraine-crisis/russia-to-storm-kyiv-tonight-ukrainian-president/2515500)