Gazprom Arena, St Petersburg, Rusia. Foto ISJ

LONDON – Pertubuhan sukan bergerak pantas menyingkirkan Rusia daripada menjadi tuan rumah pelbagai sukan ketika tentera negara itu mara lebih jauh ke dalam kawasan Ukraine semalam.

Rusia yang melancarkan pencerobohan melalui darat, udara dan laut pada Khamis selepas pengisytiharan perang oleh Presiden Vladimir Putin, dan dianggarkan 100,000 orang melarikan diri ketika letupan dan tembakan menggegarkan bandar-bandar utama.

Lokasi perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Saint Petersburg dipindahkan ke Stade de France, Perancis, diikuti Grand Prix (GP) Formula 1 tidak akan diadakan di Sochi, Rusia.

Persatuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan pasukan-pasukan yang bertanding telah berbincang situasi tersebut dan membuat kesimpulan ‘mustahil untuk mengadakan GP Rusia dalam keadaan konflik di negara tersebut’.

Pada Khamis lalu, bekas juara F1, Sebastian Vettel dan juara bertahan Max Verstappen menyatakan adalah ‘salah’ untuk berlumba di Autodrom Sochi, Rusia yang dijadualkan berlangsung pada 25 September ini.

Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) memutuskan untuk memindahkan lokasi perlawanan akhir UCL ke Stade de France selepas menerima sokongan daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Keputusan itu dikesali Kremlin tetapi disambut baik Setiausaha Kebudayaan United Kingdom (UK), Nadine Dorries.

“Rusia tidak boleh dibenarkan mengeksploitasi acara sukan dan kebudayaan di pentas dunia untuk menghalalkan serangan yang tidak diprovokasi terhadap negara demokrasi yang berdaulat,” kata Dorries.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menggesa persekutuan sukan antarabangsa untuk sama ada memindahkan atau membatalkan acara sukan yang sedang dirancang di Rusia atau Belarus.

Rentetan tentera Rusia memasuki Ukraine melalui Belarus apabila pencerobohan bermula pada Khamis membuatkan IOC mengatakan kedua-dua bendera negara tersebut tidak patut dipamerkan pada acara sukan.

Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF) berkata, ia telah membatalkan acara Grand Slam 2022 pada 22 Mei di Kazan, Rusia. Tetapi dalam satu kenyataan ringkas, Presiden IJF Marius Vizer tidak membuat sebarang rujukan kepada Rusia atau Ukraine.

“IJF dengan rasa kesal mengumumkan pembatalan Grand Slam 2022 di Kazan,” kata Vizer, yang mempunyai hubungan lama dengan Putin, yang juga merupakan seorang judoka.

Enam acara ski Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung di Rusia pada hujung minggu ini dan bulan depan telah dibatalkan dan dipindahkan oleh Persekutuan Ski Antarabangsa (FIS) demi kepentingan dan integriti pertandingan.

Menurut laman web FIS, pihaknya telah membatalkan semua baki pertandingan musim 2021-22 di Rusia, Majlis FIS bermesyuarat hari ini untuk membincangkan butiran tambahan dan akan memaklumkan hos dan tarikh pertandingan baharu.

Pengerusi pasukan hoki Ais Finland Jokerit, Jari Kurri berkata, mereka menangguhkan Liga Hoki Kontinental (KHL) musim 2021/2022 kerana dalam situasi global semasa adalah mustahil untuk diteruskan pada musim ini.

Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) mengambil langkah menangguhkan Acara M15 Jelajah Tenis Dunia yang dijadualkan berlangsung di Ukraine pada April ini dan membatalkan semua acara ITF yang berlangsung di Rusia sehingga notis seterusnya.

Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) berkata Olimpik Catur dan Kongres FIDE tidak akan diadakan di Moscow akhir tahun ini dan pihaknya sedang berusaha untuk mencari penganjur lain untuk Olimpik.

Lembaga Persekutuan Curling Dunia melucutkan bandar Perm, Rusia daripada menjadi hos Kejohanan Curling Eropah yang dijadualkan pada Mei.

Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) juga membatalkan perlawanan polo air lelaki Liga Dunia di St. Petersburg bulan depan, manakala acara renang dan terjun artistik yang dijadualkan pada April di Kazan turut dibatalkan.

Lembaga Akuatik Eropah juga menangguhkan pertandingan di Rusia, termasuk perlawanan suku akhir polo air wanita Liga Euro. Tarikh dan tempat masih belum disahkan. – REUTERS

(https://www.reuters.com/lifestyle/sports/russia-stripped-major-events-invasion-ukraine-intensifies-2022-02-25/)