ismail sabri
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa Majlis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan tanggungjawabnya yang utama iaitu mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri ismail sabri Yaakob berkata, Malaysia yang amat prihatin terhadap peningkatan konflik di Ukraine meminta semua pihak terlibat mengambil langkah untuk mengurangkan dan mencegah kehilangan nyawa dan kemusnahan.

“Pada waktu kritikal ini, setiap usaha perlu dilipatgandakan untuk mencari penyelesaian konflik secara aman dan damai melalui dialog dan rundingan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, Malaysia akan terus menyokong usaha tersebut demi kepentingan untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa serta menggalakkan kemakmuran yang lebih besar.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kedutaan Malaysia di Kyiv sedang mengatur untuk membawa keluar baki lapan warga Malaysia dan dua orang tanggungan mereka yang merupakan warga asing dari ibu negara Ukraine itu.

Katanya, seramai 13 warga Malaysia yang menetap di negara itu telah pun meninggalkan Ukraine beberapa minggu lalu. -MalaysiaGazette