Datuk Ahmad Yakob

KOTA BHARU – Semua bilik gerakan banjir di bawah Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) setiap jajahan di Kelantan telah diaktifkan dan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi bencana banjir kali ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, ia turut melibatkan kerjasama daripada agensi yang terlibat seperti pasukan keselamatan, wakil-wakil rakyat termasuk sukarelawan.

“Jentera kerajaan sudah siap siaga dengan kerjasama bersepadu pasukan keselamatan, wakil-wakil rakyat termasuk pasukan sukarelawan untuk memastikan proses pemindahan dan agihan bantuan keperluan asas banjir berjalan lancar, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad turut menyeru supaya semua rakyat berwaspada dan mematuhi segala arahan keselamatan yang dikeluarkan termasuk arahan berpindah dan meningkatkan kawalan kendiri serta memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi terutama ketika berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus menunjukkan peningkatan setakat 2 petang ini, iaitu seramai 1,554 orang berbanding 853 mangsa pagi tadi yang ditempatkan di 28 PPS dengan melibatkan empat jajahan iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas. – Bernama