Kamarolzaman (kanan) mengedarkan risalah kempennya ketika melakukan walkabout di Kampung Teluk Wawasan, Simpang Lima, di sini, hari ini.

SEMERAH – Dr. Kamarolzaman Md Jidi yakin akan menang Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor meskipun kempen baru masuk gear satu.

Calon tunggal Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu yakin perkara itu akan menjadi kenyataan selepas melihat penerimaan pengundi di tempat beliau bertanding.

Keyakinan itu menjadi lebih kuat disebabkan beliau merupakan cucu Allahyarham Panglima Salleh, seorang pahlawan terkenal yang sangat dikagumi satu ketika dahulu ketika menentang komunis.

“Saya telah berkempen selain melihat perkembangan dan gerakan pemasangan poster dan sebagainya oleh penyokong-penyokong Putra.

“Saya penuh yakin akan capai kemenangan di kawasan ini memandangkan saya adalah anak jati dan juga ada kaitan dengan datuk saya, Panglima atau Kiai Salleh Selempang Merah yang telah banyak berjasa kepada penduduk di sini.

“Jadi, apalah salah kalau saya diberi peluang untuk memberikan peranan sebagai pemimpin..Insya Allah saya berjanji akan lakukan yang lebih baik dan dinamik, inovatif sejajar dengan kelulusan dan pengalaman yang saya miliki,” katanya selepas melakukan walkabout di Kampung Teluk Wawasan hari ini.

Dengan menjadikan contoh untuk membuat pisang salai, ia memerlukan pisang yang benar-benar masak, Kamarolzaman menyifatkan dirinya mempunyai ciri-ciri seperti itu di mana pengalaman yang dimiliki akan diadaptasikan sekiranyanya beliau diangkat sebagai wakil rakyat.

“Kalau pisang itu pisang muda kita nak buat pisang salai, gigi boleh patah..mungkin juga boleh sakit perut hingga boleh datang mudarat.

“Saya yakin dengan prestasi saya sebelum ini di mana saya pernah berkhidmat dengan kerajaan di institusi pendidikan dan universiti serta menjadi ahli lembaga pengarah yang begitu banyak dan lama serta pelbagai aktiviti NGO yang saya sertai ujarnya.

Sementara itu Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali menasihatkan agar para pengundi DUN Semerah tidak terpedaya dengan dakyah yang mengatakan jika parti-parti bukan pemerintah menang tidak akan ada pembangunan.

Katanya, sesiapa sahaja yang memenangi pilihan raya, pembangunan tetap ada kerana kerajaan berfungsi disebabkan rakyat membayar cukai.

“Jadi, sesiapa yang jadi wakil rakyat bantuan sara hidup akan sampai, bantuan kebajikan sampai, bantuan OKU akan dapat. Bukan bererti bantuan akan terhenti.

“Malah, bantuan akan dapat lebih lagi, apatah kalau Putra yang memerintah sebab Putra telah membuat komitmen di mana kita berpendapat rakyat Malaysia ini B40 dan M40 berhak menerima rumah percuma, pendidikan penrcuma, perubatan percuma kerana negara kita kaya.

“Hasilnya banyak tetapi sekarang ini banyak yang membazir dan menyeleweng,” ujar Ibrahim. – MalaysiaGazette