bendera korea utara
Gambar Hiasan

SEOUL – Korea Utara dipercayai telah membedil peluru berpandu, kata pengawal pantai Jepun.

Ini menandakan ujian peluru berpandu pertama dilaporkan Korea Utara pada bulan Februari, tetapi yang kelapan tahun ini selepas Korea Utara melakukan tujuh ujian sedemikian pada Januari.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan juga melaporkan Korea Utara telah menembak sekurang-kurangnya satu “peluru tidak dikenalpasti” ke arah timur, tanpa mengulas lanjut.

Pelancaran yang dibuat pada hari ini kurang daripada dua minggu menjelang Pilihan Raya Presiden Korea Selatan pada 9 Mac ini.

Calon konservatif terkemuka, Yoon Suk-Yeol, memberi amaran minggu lalu bahawa Korea Utara boleh melihat krisis Ukraine sebagai “peluang untuk melancarkan provokasinya sendiri.”

Kali terakhir Korea Utara membedil peluru berpandu adalah pada 30 Januari, apabila ia melancarkan peluru berpandu balistik jarak perantaraan Hwasong-12, senjata terbesar yang ditembak sejak 2017.

Korea Utara, yang mempunyai hubungan rapat dengan China, tidak menguji sebarang peluru berpandu semasa Sukan Olimpik Beijing pada Februari.

Paralimpik Musim Sejuk 2022 pula bermula di Beijing pada 4 Mac. – Agensi