Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah apartmen di Seksyen U13 Setia Alam, Shah Alam hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa merupakan warga tempatan berusia 20-an ditemui mati  dengan memakai baju T berwarna hitam dan berseluar pendek biru gelap.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di lokasi tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa.

“Berdasarkan siasatan awal, tiada sebarang bukti yang menunjukkan mangsa dibunuh dan disyaki mangsa telah terjun dari bangunan Blok B apartmen berkenaan.

“Setakat ini, tidak dapat dipastikan mangsa terjun dari tingkat berapa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR) namun, mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Ahsanullah Anduk (03-55202222). – MalaysiaGazette