KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 kawasan di Klang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas berlaku kejadian paip pecah di Jalan Seruling 59, Taman Seri Andalas, Klang.
Air Selangor Sdn Bhd berkata, bagi memastikan kerja-kerja pembaikan ini berjalan lancar, bekalan air di kawasan yang terjejas telah ditutup mulai jam 8 malam tadi.
Kerja-kerja pembaikan ini dijangka siap sepenuhnya pada jam 4 pagi, 1 Mac 2022, dan bekalan air akan mula disalurkan kepada premis pengguna setelah kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan.
Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini. – MalaysiaGazette