Pendaki dan malim gunung di Sabah teruja apabila fenomena salji berlaku selama dua hingga tiga minit sekitar puncak Gunung Kinabalu pagi tadi.

RANAU – Pendaki dan malim gunung di Sabah teruja apabila fenomena salji berlaku selama dua hingga tiga minit sekitar puncak Gunung Kinabalu pagi tadi.

Malim gunung bagi laluan Via Ferrata, Hajiri Sulumin, 47, berkata fenomena luar biasa itu berlaku secara tiba-tiba pada 7.18 pagi ketika dia sedang menunggu pendaki di kawasan Sayat-Sayat.

“Saya percaya ia memang salji kerana berbentuk kepingan yang ringan, kalau ketulan ais ia berat,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Hajiri juga berkata sejak 11 tahun menjadi malim gunung di laluan itu, dia pernah menyaksikan fenomena yang sama pada 2018.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah menerusi kenyataan video pula berkata fenomena salji bukan perkara mustahil yang berlaku di tanah tinggi seperti Gunung Kinabalu.

Beliau berkata fenomena itu terjadi apabila suhu udara mencecah sifar darjah Celcius dan ke bawah kerana salji boleh terbentuk jika terdapat kelembapan yang mencukupi.

“Jadi biasanya apa yang berlaku ialah fros iaitu ketulan ais yang berada di permukaan bumi, biasanya di batuan yang sejuk. Tetapi ada kalanya boleh juga berlaku dalam keadaan tertentu apabila suhu sejuk di bawah takat beku dan terdapat kelembapan yang mencukupi.

“… itu boleh menyumbangkan kepada pembentukan salji, suatu fenomena yang jarang kita lihat tetapi boleh berlaku,” katanya.

Penolong Pengarah Taman Kinabalu Justinus Guntabid berkata fenomena salji di Gunung Kinabalu pernah direkodkan pada 1975 dan 1993.

“Purata suhu di Panalaban pada 2 hingga 10 pagi tadi ialah kira-kira 6.9 hingga 12.3 darjah Celsius. Kiranya lebih sejuk daripada biasa tetapi kalau di atas, mungkin lebih sejuk lagi dan mereka yang melihat salji hari ini dianggap bertuah,” katanya.- BERNAMA