FGV

KUALA LUNPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) mencatatkan lonjakan dalam keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM1.17 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021), peningkatan lapan kali ganda daripada RM146 juta yang direkodkan tahun lepas.

Pendapatan tahunan meningkat 39% kepada RM19.57 bilion, rekod tertinggi berbanding RM14.07 bilion pada 2020.

FGV mengumumkan pembayaran dividen akhir sebanyak 8.0 sen sesaham, dengan jumlah keseluruhan pembayaran dividen sebanyak RM291.85 juta.

Keuntungan operasi FGV meningkat kepada RM1.79 bilion pada TK2021 berbanding RM603 juta tahun sebelumnya, didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih kukuh dan prestasi yang lebih baik daripada kedua-dua sektor gula dan Logistiknya.

Purata harga MSM yang direalisasikan pada TK2021 meningkat sebanyak 37% kepada RM3,671 setiap tan metrik (MT), berbanding RM2,675 setiap MT pada TK2020.

Sementara itu, bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (S4 TK2021), FGV mencatatkan peningkatan PATAMI sebanyak RM465 juta, lebih tiga kali ganda daripada RM131 juta yang dicatatkan pada S4 TK2020.

Bagi suku yang ditinjau, pendapatan kumpulan meningkat 54% tahun ke tahun kepada RM6.18 bilion, manakala keuntungan operasi meningkat kepada RM633 juta berbanding RM222 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

FGV berkata, keuntungan operasi yang lebih tinggi ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam margin produk sawit berikutan harga purata MSM yang lebih tinggi, pengurangan kos MSM ke pintu kilang dan kadar pengendalian yang lebih baik untuk perniagaan pukal dan pengangkutannya.

Sektor Perladangan FGV, perniagaan utama kumpulan yang membentuk sebahagian besar portfolio perniagaannya, merekodkan prestasi yang lebih kukuh pada S4 TK2021 dengan jumlah keuntungan operasi sebanyak RM716 juta dengan pendapatan sebanyak RM5.41 bilion sebelum perjanjian pajakan tanah (LLA) dan rosot nilai.

Ini merupakan peningkatan ketara sebanyak 87% dan 65% masing-masing berbanding suku yang sama sebelumnya, disumbangkan oleh harga MSM yang lebih tinggi dan volum pengeluaran MSM yang lebih baik.

Keuntungan operasi sebelum LLA dan rosot nilai bagi segmen huluan di bawah sektor perladangan FGV meningkat kepada RM633 juta bagi suku yang ditinjau, peningkatan dua kali ganda berbanding RM300 juta pada suku yang sama tahun lepas, disokong oleh margin produk sawit yang lebih tinggi yang diperoleh daripada harga purata MSM lebih tinggi iaitu RM4,194 setiap MT pada S4 TK2021 berbanding RM3,059 setiap MT pada S4 TK2020.

Bagi operasi huluan pula, FGV melaporkan sedikit peningkatan sebanyak 1% dalam kedua-dua pengeluaran tandan buah segar (TBS) dan hasil kepada 1.05 juta MT dan 4.16 MT/Ha masing-masing pada S4 TK2021 berbanding suku yang sama tahun lepas, seiring dengan penambahbaikan hasil daripada pokok kelapa sawit yang matang dan muda.

Pengeluaran MSM kumpulan meningkat sebanyak 5% tahun ke tahun kepada 0.73 juta MT, manakala kadar pengekstrakan minyak juga meningkat sebanyak 1% tahun ke tahun kepada 21.05% untuk suku yang ditinjau, didorong oleh peningkatan TBS yang diproses dan prestasi kilang yang lebih baik berikutan kawalan proses yang ketat.

Selain itu, FGV juga mencapai faktor penggunaan (UF) yang lebih tinggi sebanyak 69% disokong oleh volum TBS diterima yang lebih tinggi pada S4 TK2021 berbanding 66% pada suku yang sama tahun lepas.

Ini telah menyumbang secara positif kepada pengurangan kos MSM ke pintu kilang sebanyak 2% kepada RM1,773 setiap MT disebabkan oleh kos pemprosesan yang lebih rendah.

Sementara itu, FGV menyaksikan sektor logistiknya mencatatkan keuntungan operasi yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM29 juta pada S4 TK2021, meningkat 38% berbanding RM21 juta pada suku yang sama sebelumnya.

Selain itu, sektor gula, MSM Malaysia Holdings Berhad bagaimanapun, mencatatkan kerugian operasi sebanyak RM6 juta pada S4 TK2021 berbanding keuntungan operasi sebanyak RM72 juta pada S4 TK2020 walaupun mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi sebanyak RM642 juta.

Ini disebabkan oleh volum jualan yang lebih rendah untuk industri dan eksport akibat permintaan domestik yang perlahan dan bencana banjir, penurunan margin keuntungan kasar hasil daripada kos pengeluaran yang lebih tinggi.

Namun begitu, sektor ini mencatatkan lonjakan ketara dalam jumlah keuntungan operasi sebanyak 222% kepada RM116 juta pada TK2021 berbanding RM36 juta setahun sebelumnya. – MalaysiaGazette