Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation.

KUALA LUMPUR – Bekas ketua jurulatih skuad hoki lelaki dan wanita kebangsaan Yahya Atan atau lebih dikenali sebagai ‘Pakya’ meninggal dunia pada usia 67 tahun petang semalam.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam satu kenyataan memberitahu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6.45 petang di Hospital Kuala Lumpur.

KHM menyifatkan sukan hoki amat dekat di hati beliau di mana namanya cukup terkenal dalam kalangan penggiat sukan itu.

“Allahyarham Pakya merupakan seorang yang sangat mencintai sukan hoki dan telah banyak menghabiskan waktunya membantu sukan hoki sama ada di peringkat akar umbi mahupun di peringkat lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.

Difahamkan Pakya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur pada 25 Februari lalu selepas ditemukan terbaring tidak sedarkan diri dalam tandas sebelum aksi skuad hoki wanita Sabah menentang Mutiara Impian dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2022.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Terdahulu, arena olahraga turut dikejutkan dengan pemergian bekas pelari 800 meter (m) dan 1,500m Olimpik negara R. Subramaniam, yang difahamkan menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kajang selepas mengadu mengalami sakit dada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast