JOHOR BAHRU – Azmi Ali yang mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram berdepan dengan cabaran besar apabila ada pengundi keliru dengan namanya yang seakan sama dengan nama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Lantaran itu, Azmi terpaksa menjelaskan kepada pengundi-pengundi di situ bahawa tiada kaitan dengan Azmin Ali.

”Memasuki hari kedua berkempen, satu cabaran besar yang saya hadapi ialah ramai pengundi sebenarnya menyangka Datuk Seri Mohd Azmin Ali bertanding di Tiram.

”Walaupun nama saya mungkin serupa, saya cepat-cepat menjelaskan kepada pengundi bahawa nama saya Azmi Ali dan saya tiada kaitan dengan Azmin Ali. Kebanyakan pengundi hanya mentertawakannya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Azmi berasal dari Ulu Tiram dan selepas menamatkan pengajian Undang-undang Syariah di Universiti Al-Azhar dan UIAM, pernah menjadi peguam Syarie di
Johor dan juga mengajar pengajian agama dan al-Quran.

Mengulas kempennya setakat ini, Azmi optimis walaupun berdepan cabaran sukar dalam pertembungan tujuh penjuru untuk kerusi DUN Tiram di Johor, beliau percaya pengundi di sini akan membuat pilihan yang tepat.

Bekas kakitangan Majlis Agama Islam Negeri Johor dan terkenal dalam kalangan guru agama dan jawatankuasa masjid ini berkata, setakat ini kehadiran beliau diterima baik oleh pengundi-pengundi kerana telah berkhidmat di kawasan ini sebelum pilihan raya negeri diadakan.

Azmi akan bersaing dengan enam calon lain iaitu S Gopalakrishnan daripada PKR; Dr Karim Deraman (Pas), Azizul Bachok (BN); Datuk Abdul Aziz Harun Parti Pejuang Tanahair; dua calon bebas, Balasundram yang menggunakan imej gajah dan Jayasangkar AL Jeraman menggunakan imej pen. – MalaysiaGazette