Ratusan mat rempit diarahkan tolak motosikal masing-masing sejauh tiga kilometer selepas ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Pulau Pinang. Gambar hiasan

BAYAN LEPAS – Ratusan mat rempit diarahkan menolak motosikal masing-masing sejauh tiga kilometer ke Balai Polis Bayan Baru selepas ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Choong Eu (Seagate) di sini, semalam.

Operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 6 pagi itu dilakukan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang yang diketuai Pengawai Turus Penguatkuasa JSPT negeri, Asisten Superintendan Mazlan Fadzilah dengan bantuan 41 pegawai dan anggotanya.

Kesemua mereka diarahkan menolak motosikal ke Balai Polis Bayan Baru untuk proses dokumentasi.

Ketua JSPT negeri, Superintendan Zafri Zolkapli berkata, operasi itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan mengenai aktiviti dan budaya mat rempit yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain serta ganggu ketenteraman awam penduduk berhampiran khususnya pada cuti hujung minggu.

Jelas beliau, bertindak atas aduan dan risikan pihaknya melakukan serbuan sebelum berjaya menahan 102 mat rempit dalam operasi tersebut.

Zafri.

“Menerusi operasi tersebut kita dapati penunggang motosikal bertindak membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain dengan melakukan aksi berbahaya seperti menunggang dengan kelajuan melebihi had ditetapkan selain meniarap atas motosikal.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 16 hingga 30 tahun itu diarahkan menolak motosikal masing-masing hingga ke Balai Polis Bayan Baru bagi proses dokumentasi,” katanya kepada pemberita di sini.

MalaysiaGazette difahamkan ada dalam kalangan mat rempit itu yang sanggup meninggalkan motosikal di lebuh raya berkenaan sebelum melarikan diri bagi mengelak diberkas polis.

Tangkap layar menunjukkan segelintir penunggang meninggalkan motosikal mereka sebelum melarikan diri.

Mengulas lanjut Zafri berkata, sebanyak 102 motosikal disita dalam operasi tersebut mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain itu kita turut mengeluarkan 239 saman dan saman paling banyak membabitkan kesalahan nombor pendaftaran tidak ikut peratusan iaitu sebanyak 69 dan diikuti tidak pamer L/P (30), tiada lesen memandu (26), ubah suai ekzos (14) dan lain-lain kesalahan.

“Operasi sebegini akan giat dilakukan dari masa ke masa dan ini juga sebahagian daripada usaha polis mengurangkan kadar kemalangan dalam kalangan penunggang motosikal,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast