KUALA LUMPUR – Lembaga Peperiksaan (LP) sentiasa memantau rapi situasi semasa pusat peperiksaan yang terjejas dan telah menyediakan pelan tindakan bagi memastikan calon SPM tahun 2021 dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan teratur dan selamat.
SPM dijadual pada 2 Mac hingga 29 Mac 2022.
Berdasarkan ketetapan sedia ada, pengurusan pusat peperiksaan yang terjejas akibat banjir dilaksana mengikut ketetapan Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan Bil.1/2001.
LP juga menyediakan garis panduan khusus mengenai pengurusan menghadapi banjir semasa peperiksaan awam yang meliputi aspek pengurusan sekolah dan pusat peperiksaan, calon peperiksaan petugas peperiksaan serta pengurusan bilik kebal, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
”KPM sentiasa prihatin tentang kebajikan calon yang terlibat dengan banjir. Oleh yang demikian, sekiranya calon peperiksaan SPM 2021 tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan disebabkan bencana banjir, calon terlibat boleh menghubungi guru kelas/ Setiausaha Peperiksaan/ Pengetua di sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut.
”Selain itu, calon yang terkesan juga dibenarkan untuk menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan lain yang boleh diakses sebagai calon menumpang dan perlu dimaklumkan kepada pusat peperiksaan asal.
Bagi calon atau petugas peperiksaan yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai pengurusan menghadapi banjir semasa peperiksaan SPM ini, sila hubungi bilik gerakan LP dan Jabatan Pendidikan Negeri. – MalaysiaGazette