Foto: Twitter Middle East Eye

LONDON – Rakaman video lama yang memaparkan seorang aktivis Palestine, Ahed Tamimi ditahan tentera Israel dikongsi secara dalam talian dengan meluas dengan dakwaan palsu bahawa beliau merupakan seorang gadis warga Ukraine sedang berhadapan tentera Rusia.

Imej yang dirakam pada 2012 yang memaparkan Tamimi berusia 11 tahun ketika itu menunjukkan penumbuk ketika beliau sedang berhadapan dengan tentera Israel.

Bagaimanapun, ramai pengguna Twitter yang berkongsi gambar itu memberi maklumat yang salah bahawa beliau berasal dari Ukraine.

Klip video yang disiarkan pada aplikasi Tiktok menunjukkan konfrontasi yang sama antara Tamimi dan anggota tentera itu yang meminta penonton berdoa untuk keselamatan Ukraine.

Setakat ini, klip telah telah disaksikan sebanyak 12 juta kali dan mendapat lebih 800,000 ‘likes’, lapor Middle East Eye.

Tamimi sering kali dirujuk sebagai ikon penentang untuk Palestin.

Tamimi mendapat tumpuan media yang meluas pada 2017 apabila ditahan selepas bertengkar dengan tentera Israel yang enggan membenarkannya meninggalkan kediaman beliau di Nabi Saleh, sebuah perkampungan di Tebing Barat yang dicerobohi Israel.

Foto: Twitter Middle East Eye

Tamimi yang berusia 16 tahun ketika itu dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan yang mana ia mendapat liputan meluas seluruh dunia.

Ketika beliau dibebaskan, Tamimi memberi penghormatan kepada kaum wanita yang dipenjarakan Israel dan berkata, beliau merancang untuk menjadi seorang peguam bagi membantu penduduk Palestin.

Ramai pengguna media sosial marah dengan maklumat palsu itu dan menyifatkannya sebagai amalan pilih kasih selain mempersoalkan bagaimana rakaman tersebut diperoleh.

“Saya agak kanak-kanak Palestin menjadi hero apabila mereka disangka warga Eropah?” tanya seorang pengguna Twitter.

Seorang lagi pengguna Twitter menggesa orang ramai ‘berhenti menggunakan warga Palestin sebagai propaganda’.

Liputan media barat terhadap pencerobohan Rusia menerima kutukan berikutan bermotifkan perkauman, sering memaparkan kemurungan Eropah yang ‘bertamadun’ dan membandingkan mereka dengan pelarian dari Timur Tengah.

Kebanyakan pengguna media sosial berkata, video Tamimi tular lagi kerana beliau kelihatan seperti individu berkulit putih.

Awal minggu ini, bekas timbalan pendakwa raya Ukraine, David Sakvarelidze mencetuskan kemarahan apabila beliau memberitahu BBC bahawa pencerobohan Rusia ‘adalah sangat emosi untuknya kerana beliau melihat penduduk Eropah yang bermata biru dan berambut perang dibunuh’.

Ini bukannya kali pertama rakaman lama yang tidak berkaitan dengan konflik di Ukraine itu mengelirukan, malah terdapat rakaman dengan maklumat yang mengelirukan disiarkan sejak hari pertama pencerobohan Rusia dilakukan.

Banyak rakaman dari Timur Tengah dikait dengan krisis Rusia-Ukraine antaranya rakaman dari Syria, Lebanon, Libya, and Palestine . – Agensi

(https://www.middleeasteye.net/news/russia-ukraine-war-girl-confronting-ahed-tamimi-palestine)