Haniza Talha PBM UMNO
Haniza Talha

JOHOR BAHRU – Parti Bangsa Malaysia (PBM) mendakwa para pengundi di negeri Johor ragu-ragu untuk keluar mengundi pada 12 Mac ini kerana bimbang dengan penularan varian Omicron Covid-19.

Sehubungan itu, Pengarah Pilihan Raya PBM, Haniza Mohamed Talha berharap pihak berkuasa dapat memainkan peranan untuk meredakan ketakutan ini dan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan disediakan untuk pilihan raya ini.

”Satu lagi faktor yang terserlah semasa kempen ialah varian baharu Covid-19, Omicron telah menimbulkan panik di kalangan ramai pengundi di sini.

”Mereka sedar betapa mudah dan pantas varian Omicron merebak dan disebabkan ini, sebilangan pengundi yang ditemui telah menyatakan keraguan tentang keluar mengundi pada hari pengundian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PBM meletakkan empat calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Mengulas mengenai kempen PRN yang memasuki hari keempat, Haniza berkata, cabaran terbesar yang dihadapi calon PBM adalah untuk mendekati seramai mungkin pengundi dalam tempoh yang singkat.

Lebih-lebih lagi bilangan pengundi telah meningkat selepas mereka yang berumur 18 tahun ke atas ditambah secara automatik selaras dengan Undi18.

Menurutnya, parti ini menerima sambutan yang menggalakkan sepanjang dua hari berkempen intensif yang lepas memandangkan PBM adalah parti baharu dan ramai rakyat Johor baru menyedari kehadiran parti ini.

“Semasa kempen, kami mengetahui bahawa ramai di negeri ini masih terjejas teruk dari segi ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan siri PKP.

”Kami mendapati pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan bulanan mereka, termasuk sewa, makanan, persekolahan, pinjaman dan lain-lain. Ramai yang masih berdepan tugas berat untuk menampung kehidupan.

‘Di pihak PBM, kami telah mengambil perhatian terhadap semua masalah yang telah dibangkitkan oleh pengundi dan berjanji untuk meneliti dan menyelesaikannya dengan sebaik mungkin,” ujarnya. – MalaysiaGazette