Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Noor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 MAC 2022.

KOTA TINGGI – Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang cerah untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan kerjasama jentera Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu memenangkan calon.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, undi18 diyakini membantu PN memperoleh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Ada (peluang menang), pasal apa tak ada, napa cakap macam tu.

“Undi anak muda semua pergi kepada PN,” katanya kepada MalaysiaGazette di Bilik Gerakan Utama PN Wilayah Timur, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat PN bersama calon-calon parti itu yang bertanding di kerusi DUN di kawasan Timur Johor.

Antaranya DUN Penawar, Tanjong Surat, Johor Lama, Sedili, Tenggaroh dan Endau.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah itu menyerahkan pilihan itu kepada pengundi Johor yang akan menentukan calon dan parti mana layak membentuk Kerajaan Negeri Johor kelak.

“Tak boleh agak, itu orang Johor akan buat pilihan.

“Saya rasa orang Johor dah bijak dah pun,” katanya.

Selain itu, menurutnya, peluang kemenangan semakin cerah susulan markas dan jentera Pas dan Bersatu disatukan di bawah bumbung yang sama.

“Semua okay (bantu kempen jentera) Pas dengan Bersatu bekerjasama dengan baik.

“Markas kita disatukan, struktur jentera kita juga disatukan, sesuatu yang luar biasa telah dilakukan.

“Semua 42 DUN disatukan atas nama Perikatan Nasional… Alhamdulillah semua okay,” katanya lagi. – MalaysiaGazette