Gambar hiasan

IPOH – Dua lelaki warga Bangladesh masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi suapan RM100 kepada seorang anggota polis, November lepas.

Hakim M.Bakri Abd Majid menjatuhkan hukuman itu ke atas Ali Alhaj, 30, dan Mia Md Somon, 25, yang merupakan pekerja kilang selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Hindi.

M.Bakri turut mengarahkan kedua-duanya dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Ali dan Mia didakwa bersama-sama secara rasuah memberi suapan iaitu wang tunai RM100 kepada seorang pegawai badan awam iaitu koperal yang bertugas di Balai Polis Jelapang di hadapan RHB Bank Cawangan Silibin, kira-kira 10.30 pagi, 16 November lepas.

Ia sebagai satu balasan bagi anggota polis itu melepaskan kedua-dua warga asing berkenaan daripada diambil tindakan undang-undang bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Maziyah Mansor manakala Ali dan Mia tidak diwakili peguam.

Mereka membayar denda berkenaan manakala wang rasuah berjumlah RM100 dilucut hak kepada kerajaan di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta SPRM 2009. – Bernama