Hafiz Ariffin

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) bukanlah parti yang maksum sebab itu usaha-usaha penambahbaikan sentiasa dilaksanakan bagi memastikan gerakan membantu rakyat dapat dilakukan secara berkesan.

Sebab itu, bagi Exco Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin Ikhtiar BN bagi rakyat Johor yang dilancarkan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Hasni Mohamad sewajarnya disambut baik oleh rakyat di negeri selatan tanah air itu.

Katanya, tindakan beberapa politik bergelar Yang Berhormat melompat parti setelah diberi mandat oleh rakyat tidak boleh dibiarkan berlaku lagi kerana ia menjadi punca ketidakstabilan politik seterusnya melelahkan rakyat.

“Oleh itu, BN Johor menerusi Manifesto BN kali ini akan memperkenalkan Enakmen Anti Lompat Parti, yang mana ia akan menyekat masalah lompat parti ini dari berulang sekaligus membawa aspirasi yang menjadi tunjang utama tawaran BN kepada semua iaitu kestabilan politik.

“Suhu politik negara lebih-lebih lagi ketika ini menunjukkan profesion sebagai ahli politik, menjuarai carta pekerjaan yang paling tidak dipercayai oleh orang awam.

“Sejujurnya, ahli politik mempunyai kapasiti membuat keputusan yang besar dan ia boleh mempengaruhi hidup orang awam. Maka, kesangsian orang awam terhadap ketelusan ahli politik adalah berasas.

“Oleh itu, inisiatif reformasi politik yang bakal dilaksanakan sekiranya BN dipilih untuk menerajui kerajaan negeri Johor adalah untuk mewajibkan setiap ADUN di Johor mengisytihar harta kepada SPRM,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut Hafiz, untuk maju kehadapan dalam menambahbaik khidmat bakti kepada rakyat dan melangkah ke arah politik matang, saya selaku Exco Pemuda UMNO Malaysia menyokong penuh Manifesto BN untuk PRN Johor 2022.-MalaysiaGazette