Mohd Solihan Badri

TANGKAK – Mahu meneruskan khidmat bakti Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, itulah tekad calon Perikatan Nasional (PN) N09 Gambir, Mohd Solihan Badri sekiranya beliau diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Jelas beliau, Muhyiddin bercita-cita untuk mewujudkan kawasan industri ringan di DUN Bukit Gambir bagi membantu meningkatkan ekonomi rakyat setempat.

“Saya akan meneruskan khidmat bakti Tan Sri di sini dan tambah baik mana yang patut kerana Tan Sri mahu mewujudkan kawasan industri ringan dan saya akan pastikan ia dilaksanakan.

“Kita akan kenal pasti lokasi serta mencari bajet sama ada di peringkat negeri atau persekutuan bagi memastikan projek itu dapat direalisasikan kerana saya tak mahu janji yang Tan Sri sebutkan beberapa tahun yang lalu tak dapat dilaksanakan.

“Justeru, kita memerlukan kerjasama dari kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persekutuan dalam melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program menyantuni masyarakat Cina sempena kempen PRN Johor di Pekan Bukit Gambir di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Solihan berkata, beliau juga sudah mengenal pasti beberapa masalah-masalah yang sering dihadapi penduduk setempat yang diadukan kepadanya sepanjang berkempen.

“Antara masalah rakyat yang dikenal pasti termasuklah melibatkan sistem perairan dan perparitan selain kekurangan kawasan perniagaan orang Melayu dan kawasan perniagaan kecil.

“Sebelum ini pun saya sudah ambil maklum dan saya akan pastikan apa yang dicadangkan oleh rakyat dapat diangkat ke peringkat pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri untuk diselesaikan,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, Mohd Solihan memenangi kerusi DUN Tenang dengan majoriti undi 1,070 menewaskan calon parti Barisan Nasional (BN) seterusnya dilantik sebagai Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Johor ketika Datuk Sahruddin Jamal menjadi Menteri Besar Johor.

DUN Gambir menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara PN menentang calon dari Parti Pejuang Tanah Air, Suraya Sulaiman; calon Parti Keadilan Rakyat, Naim Jusri dan calon Barisan Nasional (BN), Sahrihan Jani.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga penyandang kerusi DUN Gambir tidak akan mempertahankannya dalam PRN Johor kerana mahu memberi tumpuan kepada pentadbiran di peringkat pusat dan pengurusan parti. – MalaysiaGazette