Najib Razak Tim Leissner 1MDB Goldman Sachs corruption bribe job offer
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan, akibat kegagalan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), prestasi ekonomi negara berada dalam keadaan lembab.

Ahli Parlimen Pekan itu juga menyatakan, keadaan itu disebabkan tindakan PH memansuhkan sistem Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) demi langkah populis mereka.

“Akibatnya, beberapa aset negara yang selama ini memberi pulangan yang baik, telah dijual menyebabkan prestasi ekonomi yang lembab di bawah kerajaan PH dan PN.

“Defisit tahunan kerajaan yang turun lapan tahun berturut-turut semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah naik semula.

“Akibatnya hutang langsung negara telah naik lebih 46 peratus atau kenaikan sekitar RM320 bilion dari RM687 bilion pada tahun 2017 kepada lebih RM1.03 trilion hari ini,” katanya pada sesi perbahasan menjunjung kasih Titah Yang Dipertuan Agong di Parlimen, petang ini.

Menurut Najib, nisbah hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga naik dari 48.7 peratus kepada lebih 63 peratus hari ini, iaitu jauh melebihi had nisbah hutang 55 peratus yang ditetapkan semasa kerajaan BN.

Bukan itu sahaja, tegas beliau, rizab tunai Petronas sebanyak RM176 bilion yang ditinggalkan kerajaan BN pada masa PRU14 turut dijarah, manakala tabung KWAP, KWAN dan Khazanah turut mengalami nasib yang sama dikorek kerajaan PH dan PN.

“Sedangkan, sepanjang tempoh KWAP ditubuhkan dan beroperasi, satu sen pun tidak pernah diambil dari tabung ini pada era BN. Hakikatnya, nilai aset tabung KWAP naik dari RM55 bilion pada tahun 2008 ke RM140 bilion pada akhir tahun 2017.

“Malangnya, bermula 2018, di mana RM4.5 bilion dikeluarkan kerajaan PH, sebanyak RM19.5 bilion telah dikeluarkan dari KWAP setakat ini berbanding dengan sifar, iaitu kita tidak pernah sentuh sama sekali pada zaman BN, sebaliknya bertambah peruntukannya setiap tahun.

“Begitu juga dengan tabung KWAN, di mana nilai tabung naik dari RM4 bilion pada tahun 2008 kepada RM17 bilion pada akhir 2017, sebanyak RM15 bilion juga telah dikorek keluar oleh kerajaan PN,” katanya.

Mengenai nilai aset Khazanah Nasional, mantan Perdana Menteri itu menyatakan, ia naik berganda dari RM33 bilion ke RM116 bilion dalam tempoh sembilan tahun sebelum PRU14 juga telah menurun kepada RM82 bilion pada akhir tahun 2020.

Ini pun, setelah aset bernilai berpuluh bilion ringgit yang sepatutnya memberi pulangan yang baik, telah dijual oleh kerajaan PH.

“Ini jelas bahawa nilai-nilai rizab dan tabung simpanan kerajaan ketika ini sudah jauh lebih rendah berbanding sebelum PRU14.

“Akibatnya penarafan kredit Malaysia yang diberi oleh syarikat Fitch telah diturun taraf dari gred A ke gred B pada tahun 2020, iaitu buat kali pertama dalam sejarah Malaysia kehilangan gred A.

“Kesimpulannya, bukan sahaja rizab Petronas, Khazanah, KWAP dan KWAN dikorek atau dijarah, tetapi hutang kerajaan juga melonjak naik sebanyak RM320 bilion iaitu kenaikan lebih 46 peratus sejak PRU14,” katanya.

Kata Najib lagi, negara berdepan dengan keadaan yang cukup mencabar untuk memulihkan semula tabung dan rizab negara setelah kerosakan sangat teruk ditinggalkan oleh kerajaan PH dan PN terdahulu.

Beliau mendakwa, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan tidak tahu keadaan kewangan negara, sedangkan beliau pernah menjawat jawatan Menteri Kanan dalam PH dan kemudian menjadi Perdana Menteri dalam kerajaan PN.

“Sebenarnya selepas PRU14, Pagoh berada dalam dua kerajaan yang merosakkan kewangan negara.

“Beliau juga pernah mengaku berbelanja RM600 bilion untuk menunjukkan keprihatinannya semasa menjadi Perdana Menteri sehinggakan mengaku kerajaan tidak mempunyai dana lagi.

“Dari mana dia dapat dana sebanyak RM600 bilion ini jika bukan dari rizab RM2 trilion pada masa BN dahulu? Ataupun dengan menambah hutang negara?,” soal beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast