KYIV – Pengawal Nasional Ukraine berkongsi video dalam akaun rasmi Twitternya yang memaparkan seorang tentera daripada pergerakan berhaluan kanan unit tentera sukarela, Azov sedang mencelup lemak babi pada peluru.

“Pejuang Azov dari Pengawal Nasional mencelup peluru dengan lemak babi terhadap Kadyrov orc,” tulis Pengawal Nasional Ukraine pada rakaman video yang disiarkan pada 27 Februari lalu seperti dilaporkan Multipolarista.

Kadyrov dirujuk kepada Ramzan Kadyrov yang merupakan pemimpin Republik Chechnya, sebuah wilayah majoriti Muslim.

Pengawal Nasional Ukraine menggelar pejuang Chechnya yang menyertai tentera Rusia dengan panggilan orc yang bermaksud raksasa kejam yang diambil daripada buku seperti The Lord of the Rings.

Pejuang Azov didakwa melindungi neo-Nazi dan mennyebarkan ideologi ketuanan kulit putih.

Sementara itu, Al Jazeera melaporkan tentera pada rakaman video itu berkata: “Wahai saudara Muslim. Dalam negara kami, anda tidak akan pergi ke syurga. Tolong pulang. Di sini, anda akan mengalami kesusahan. Terima kasih kerana mengambil perhatian, Selamat tinggal,”.

Sebelum ini, Presiden Rusia, Vladimir Putin merujuk situasi semasa seperti unit dalam tentera Ukraine itu merupakan alasan untuk melancarkan ‘operasi tentera khas’.

Pada sabtu lalu, Kadyroz yang merupakan sekutu Putin berkata, pejuang Chechnya telah dikerah ke Ukraine dan menggesa penduduk negara itu menjatuhkan kerajaan mereka. – Agensi