Anak ikan, benih musnah akibat ditangkap nelayan bot pukat tunda di Perairan Kuala Muda, Kedah.

GEORGE TOWN – Lebih 1,000 nelayan pantai terjejas sumber pendapatan akibat pencerobohan bot pukat tunda, rawa sorong serta penggunaan bubu naga di perairan Kuala Muda, Kedah.

Antara lokasi pengkalan nelayan yang terlibat ialah Teluk Nipah, Teluk Amboi, Pulau Sayak dan Tanjung Dawai.

Empat pengkalan nelayan terjejas teruk akibat kegiatan bot pukat tunda, rawa serta bubu naga.

Difahamkan, bot pukat tunda yang menceroboh zon tangkapan nelayan pantai di sini berpengkalan di Kuala Kedah manakala nelayan bot pukat rawa sorong dan bubu naga pula dari daerah Yan.

Aktiviti haram berkenaan sering dilakukan pada waktu malam mulai jam 12 sehingga 6 pagi, antara 100 meter hingga empat kilometer dari pantai manakala kawasan tumpuan operasi bot itu ialah di perairan Pulau Bidan, Tanjung Jaga dan Singkir.

Nelayan, Amin Abdul Hamid, 43, berkata, masalah itu sudah lama berlaku dan nelayan terjejas telah mengadu kepada pihak berkuasa namun tidak ada tindakan berkesan yang diambil sehingga kini.

Amin.

Jelas Amin, hidupan laut semakin pupus sejak nelayan bot pukat tunda, rawa sorong dan bubu naga itu menjalankan aktiviti di perairan berkenaan.

“Benih ikan, udang, ketam dan lain-lain turut musnah akibat penggunaan peralatan berkenaan.

“Selain itu, nelayan juga mengalami kerugian puluhan ribu ringgit kerana peralatan tangkapan ikan turut musnah akibat dilanggar bot tersebut,” katanya.

Menurut Mukhlis Mansor, 36, pihaknya bimbang sekiranya kejadian ini gagal ditangani dengan berkesan oleh pihak berkaitan, kemungkinan mata pencarian nelayan di sini akan terputus sepenuhnya.

Mukhlis.

“Sebelum ini, nelayan memperolehi pendapatan lebih RM200 setiap kali turun ke laut tetapi sekarang hanya mendapat antara RM30 hingga RM40 sahaja.

“Sehingga kini masih tiada tindakan berkesan diambil pihak berkuasa walaupun ia sudah lama berlaku malah kami bimbang berlaku kebocoran maklumat pengadu susulan setiap kali aduan dibuat, nelayan yang menjalankan aktiviti haram itu menghentikan operasi mereka dengan serta-merta,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, penguatkuasaan undang-undang yang lemah menyebabkan masalah itu berlarutan hingga sekarang.

“Bukan sahaja nelayan pantai tertindas malah ribuan metrik tan anak ikan atau benih musnah setiap hari dan jika dibiarkan boleh menyebabkan kepupusan sumber perikanan serta menggugat sektor berkenaan.

Bubu naga yang diharamkan Jabatan Perikanan masih digunakan.

“Sehubungan itu, CAP menggesa Jabatan Perikanan Kedah dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) supaya membanteras aktiviti haram ini serta perlu menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan tegas dan berkesan.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) turut digesa campur tangan dan menjalankan siasatan dengan segera terhadap aduan yang dikemukakan nelayan pantai, katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Mohideen, pihak berkaitan juga perlu menyalurkan bantuan atau pampasan setimpal kepada mereka yang terbabit dengan kerosakan alat tangkapan akibat dilanggar bot pukat tunda ketika menceroboh Zon A di perairan itu. – MalaysiaGazette