Rahim Bakar mengusahakan kedai makan selama 41 tahun di Segamat.

SEGAMAT – Menjadikan peristiwa banjir di Segamat awal tahun lalu sebagai pengajaran bagi menentukan masa hadapan generasi keluarga, seorang pengusaha restoran tidak sabar memangkah undi pada 12 Mac nanti.

“Kalau orang lain rancak kempen, saya tidak sempat sebab berniaga, tahu tahu siapa patut pangkah.

“Senang sahaja, ingat pengalaman banjir Segamat, kita tengok masa kita susah, masa banjir hari tu dan Covid-19  siapa turun bantu bersama rakyat.

Rahim Bakar, 61, berpengalaman 41 tahun berniaga mengusahakan kedai sarapan pagi daerah ini berpendapat, pengalamannya sendiri akan dijadikan penanda aras untuk menilai kepimpinan parti-parti yang menerajui kerajaan.

Bapa kepada enam orang anak ini turun menasihatkan pengundi muda agar bijak menilai demi masa depan mereka.

Mereka perlu menilai secara rasional dan bukan berdasarkan emosi semata-mata.

“Orang muda saya tidak tahu pemikiran mereka macam mana, tapi untuk saya dan anak-anak kami belajar sesuatu daripada pengalaman banjir,” katanya.

Semua lapisan masyarakat harus menimba pengalaman dan perlu dirasai sendiri bagi meningkatkan rasa syukur dan mengekalkan keharmonian pelbagai bangsa dan kaum di negara ini.

Tambah Rahim, pengalaman 22 bulan ditadbir oleh pembangkang pun perlu diambil kira supaya kita menjadi pemilih yang bijak.

“Bukan cerita pasal banjir sahaja, semasa pandemik Covid-19 keadaan kita semua macam mana, siapa bantu waktu kita susah dan bangkit semula.

“Kalau wakil rakyat dulu kita dah tahu jika mereka  tidak berfungsi, untuk apa teruskan? Banyak perlu dinilai berdasarkan prestasi yang lepas,” katanya.

Segamat menjadi daerah pertama di negeri ini terjejas banjir pada 1 Januari lalu. – MalaysiaGazette