Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,755 projek di bawah perbelanjaan pembangunan telah diluluskan pada tahun ini iaitu tahun kedua Rancangan Malaysia Ke-12 dengan peruntukan sebanyak RM75.6 bilion.

Daripada jumlah ini, kira-kira 5,400 projek merupakan projek sambungan.

Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri atau ICU bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan semua projek pembangunan Kerajaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya, dalam sistem pemantauan projek oleh ICU, terdapat dua kategori projek yang didefinisikan sebagai projek bermasalah iaitu projek lewat jadual apabila peratus kemajuan sebenar menunjukkan kelewatan sehingga 20% daripada peratus kemajuan jadual dan projek sakit apabila kemajuan kerja fizikal mengalami kelewatan melebihi 20% berbanding jadual dirancang.

Untuk tahun ini, daripada jumlah 6,755 projek pembangunan yang dipantau oleh ICU, terdapat 178 projek yang dikategorikan sebagai projek sakit.

Sejumlah 92 daripada projek tersebut sedang dan telah diambil tindakan intervensi atau  oleh ICU.

Daripada jumlah itu, sebanyak 41 projek berjaya dipulihkan dan mengikut jadual pelaksanaan projek yang dirancang manakala 51 projek lagi sedang dalam tindakan pemulihan.

Mustapa menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PPBM-Bukit Gantang) yang bertanya berapa banyakkah projek kerajaan yang terbengkalai dan projek gajah
putih yang terbiar tanpa dibangunkan semula dan langkah-langkah proaktif kerajaan dengan melibatkan kerjasama pintar bersama pihak swasta agar duit pembayar cukai tidak terus dibazirkan dan dapat membawa pulangan ekonomi serta peningkatan
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2022.

Tambah Mustapa, di Bukit Gantang, terdapat satu projek di Changkat Jering yang mungkin boleh dianggapkan sebagai projek gajah putih.

Mengikut pihak Majlis Perbandaran Taiping, pada awalnya projek Laman Changkat Jering mendapat peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak RM2.8 juta.

Selepas itu, pada tahun 2012, ICU menyediakan sebanyak RM3.0 juta dan projek ini siap sepenuhnya pada tahun 2014.

Projek ini mempunyai empat komponen, iaitu 20 gerai basah, 150 gerai kering, 30 gerai makanan dan 12 kios. Pada masa ini, 20 gerai basah dan 150 gerai kering masih kosong.

”Saya difahamkan bahawa pihak Majlis Perbandaran Taiping sedang berbincang dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia untuk mencari penyelesaian.

”Pelaksanaan projek pembangunan penting untuk menjana aktiviti ekonomi negara. Pelaksanaan projek pembangunan perlu dipantau rapi oleh kerajaan.

”Bagi memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan lancar, saya sendiri, bersama dengan Ketua Setiausaha Negara mempengerusikan Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek
Pembangunan Negara untuk mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan,” ujarnya. – MalaysiaGazette