Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki kenderaan selepas selesai hadir pada Program Ceramah Kelompok bersama penduduk setempat sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Felda Adela, Pengerang, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 MAC 2022.

PENGERANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri didakwa memungkiri janji dengan Pakatan Harapan (PH) untuk memberi sedikit kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada perjalanan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mempersoalkan tindakan Perdana Menteri yang giat mengenakan kompaun sedangkan Pakatan Harapan (PH) telah menandatangani memorandum dengan kerajaan sebelum ini.

“Saya tak tahu siapa nak bayar kompaun, tak apa kita sabar saja laa…semalam, Mat Sabu dekat Parlimen, geram sungguh sebab dia kata RM3,000 kompaun.

“Saya pun text Datuk Seri Ismail Sabri, kamu janji longgar, jumpa saya, masa itu Lim Guan Eng ada, Mat Sabu ada, dia kata kita kena longgar bagi kebebasan, kalau tidak pilihan raya apa.

“Tapi Perdana Menteri tak boleh laksanakan kerana dalam kerajaan ini ada banyak mazhab, tiada persefahaman.

“Sebab itu dia perlu pembangkang tandatangan persefahaman memorandum,” katanya berucap pada ceramah kelompok bersama peneroka Felda Adela di sini hari ini.

Anwar juga tidak teragak-agak untuk menarik balik sokongan dan memorandum antara PH dan Kerajaan Persekutuan sebelum ini sekiranya segala syarat tidak dipatuhi.

“Orang kritik, kita tandatangan untuk apa? Untuk RM45 bilion selesai masalah Covid-19, itu syarat PH. Dana RM10 bilion untuk orang miskin, kita kena bagi, kalau tak bagi kita batal sokongan, dia (Perdana Menteri) tandatangan.

“Undi18 mana mereka buat, dia buat apa, PH tetapkan syarat, dia mesti lulus Undi18 sebelum Disember tahun sudah, itu keputusan kita,” katanya.

Anwar juga mahu melihat sejauh mana Akta Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan di Parlimen minggu depan diluluskan sebagaimana yang dipersetujui dalam memorandum tersebut.

“Sekarang anti lompat parti, minggu depan dalam Parlimen akan bentang. Kalau PH tak tandatangan memorandum, tak jalan, ini sebab kita mahu orang Melayu Cina India Asli, Iban dan Kadazan supaya faham ini.

“Bukan Melayu bergaduh dengan Cina, Cina bergaduh dengan Melayu, India. Yang bawah gaduh, yang atas sapu sebab 1MDB bukan Melayu sahaja, Jho Low ada, Cina pun ada.

“Jadi dia pakat curi, kita pakat gaduh, sebab itu di bawah mesti bersatu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette