JOHOR BAHRU – Tempoh singkat menjadi Menteri Besar Johor iaitu hanya selama 10 bulan dua minggu menyebabkan banyak misi dan visi yang telah dirancang oleh Datuk Dr. Sahruddin Jamal tidak dapat dilaksanakan.
Calon Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu berkata, rakyat negeri itu bagaimanapun dapat menilai sumbangan beliau dalam masa yang singkat itu.
“Sebetulnya saya jadi Menteri Besar Johor selama 10 bulan dua minggu. Jadi terlalu banyak misi dan visi yang belum saya laksanakan.
“Cuma alhamdullilah saya rasa rakyat negeri Johor dapat menilai walaupun saya hanya menjadi menteri besar dalam masa yang singkat tapi banyak bantuan, program dan aktiviti yang telah saya lakukan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sahruddin disebut-sebut sebagai calon menteri besar sekiranya PN mendapat mandat daripada rakyat pada PRN yang akan berlangsung 12 Mac nanti.
Ketika ditanya mengenai khabar angin tersebut, beliau bagaimanapun enggan mengesahkan mengenai pencalonannya sebagai menteri besar buat kali kedua.
“Saya tidak dimaklumkan dan saya pun tidak tahu. Yang penting sekarang ialah saya dan rakan-rakan semua bekerja keras untuk memastikan Perikatan Nasional menang,” katanya ringkas sambil tertawa kecil dan tersenyum.

Sahruddin ditemui selepas menghadiri Majlis Ikrar dan Tandatangan Aku Janji Intergriti Calon Perikatan Nasional di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang menyaksikan 56 calon parti itu termasuk Sahruddin berikrar dan menandatangani aku janji menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Menurut Sahruddin, jika PN menang pada PRN nanti antara perkara yang akan beliau tumpukan adalah isu perumahan rakyat serta membanyakkan projek ekonomi.
“Insya-Allah kalau Kerajaan PN terpilih lebih banyak program dan aktiviti sumbangan yang boleh kita berikan kepada masyarakat di Johor.
“Yang paling mudah adalah projek perumahan rakyat dan projek perumahan generasi kedua Felda. Jadi kita perlu membanyakkan lagi projek berimpak tinggi kepada masyarakat,” katanya.
Sahruddin dilantik sebagai menteri besar pada 15 April 2019 ketika era pemerintaan Pakatan Harapan.
Beliau mengantikan Datuk Osman Sapian dari Bersatu selepas ADUN Kempas itu meletakkan jawatan pada 8 April 2019.
Bagaimanapun Sharuddin digantikan dengan Datuk Seri Hasni Mohammad dari Barisan Nasional selepas Bersatu menarik diri daripada Kerajaan Pakatan Harapan.-MalaysiaGazette
















