GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah merangka satu pelan kontingensi, Inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang 2050 (PWSI 2050) sementara menunggu keputusan muktamad berhubung projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pelan itu dirangka susulan pertemuan pihaknya dengan Kerajaan Perak pada Selasa lalu di Ipoh bagi membincangkan SPRWTS yang tertangguh selama 11 tahun perlu dirujuk Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
“Isu berkaitan akan dirujuk kepada KASA supaya kementerian terbabit boleh melaksanakan tanggungjawab mereka mengenai pembekalan air mentah kepada negeri-negeri yang mengalami kekurangan sumber air.
“Keputusan itu dibuat hasil daripada perbincangan antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri susulan KASA kini sedang memuktamadkan satu kajian mengenai sumber air di Sungai Perak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini,
Mengulas mengenai pertemuan tersebut, Kon Yeow berkata, Kerajaan negeri sekali lagi mengulangi permintaan kepada Kerajaan Perak untuk meneroka potensi Sungai Perak sebagai bekalan sumber air mentah jangka panjang.
“Namun, pihak Menteri Besar dan agensi-agensi berkaitan Kerajaan Perak telah memberi maklum balas bahawa negeri Perak khususnya di bahagian utara juga menghadapi masalah kekurangan bekalan air mentah khasnya untuk kegunaan kepelbagaian sektor seperti industri, komersial, pertanian dan kediaman penduduk.
“Menteri Besar Perak juga membuat kesimpulan bahawa permintaan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bergantung kepada kecukupan bekalan air dari Sungai Perak sebelum sebarang pertimbangan boleh dibuat.
“Justeru, Kerajaan Pulau Pinang mengambil maklum hujah yang diberikan oleh Kerajaan Perak dan pada masa sama akan membuktikan bahawa projek SPRWTS perlu dilaksanakan demi memenuhi kehendak serta permintaan kedua-dua negeri ini,” kata beliau.
Terdahulu media melaporkan, Perak tidak dapat membantu membekalkan air mentah ke Pulau Pinang kerana bekalan sedia ada perlu diutamakan kepada penduduk negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun sumber air mentah banyak di Perak tetapi penggunaan untuk rakyat negeri itu juga tidak mencukupi. – MalaysiaGazette

















Nampak macam bohong je …..