PENGERANG – Barisan Nasional (BN) didakwa tidak bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah generasi kedua Felda yang masih berlarutan sekian lama.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kekesalan kerana isu kebajikan anak peneroka Felda itu acap kali dimainkan setiap kali pilihan raya demi mengekalkan kubu kuatnya di kawasan tanah rancangan itu.
“Isu Felda termasuk generasi kedua sentiasa dibangkitkan di Parlimen oleh ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), ini agenda belum selesai.
“Setiap kali pilihan raya, UMNO, BN dan Perikatan Nasional (PN) membawa menguar-uarkan nak selesai masalah itu tapi belum,” katanya ketika ditemui pemberita selepas ceramah kelompok di Felda Adela di sini hari ini.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan lebih 530 unit rumah Projek Perumahan Generasi Kedua Felda (PGKF) di Felda Papan Timur, Kota Tinggi terbengkalai hampir 10 tahun lalu.
Projek perumahan teres itu yang mula dibina pada 2013 itu bukan sahaja terbengkalai bahkan kos rumah bermula RM70,000 kini melambung sehingga RM198,000 seunit.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang turut melahirkan rasa kesal isu Felda masih gagal diselesaikan dan tersasarkan daripada matlamat asalnya membantu rakyat miskin.
“Arwah Abdul Tun Razak yang memberikan gagasan besar Felda untuk bantu rakyat miskin. Malangnya bawah anak dia dengan FGV masalah Felda ini balik. Cuma nasib baik sekarang ini harga kelapa sawit itu naik.
“Tapi kita bergantung nasib di situ, dia turun lingkup kita. Naik selesa sikit kita, yang kita nak ubah struktur dia termasuk jaminan generasi kedua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















