Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan calon calon yang bertanding berikrar pada Majlis Ikrar dan Tandatangan Aku Janji Integriti Calon Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Impianan Hotel Senai, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Menjadi tanggungan kepada calon Perikatan Nasional (PN) beragama Islam bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya melanggar sumpah Aku Janji Intergiriti selepas melazafkan sumpah wallahi, wabillahi, watallahi.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, lafaz sumpah itu adalah sesuatu yang berat dan mengandungi hukum tertentu dalam agama dan tidak boleh dilanggar.

“Jadi sebagai seorang Islam kalau mereka sudah bersumpah tapi dia melanggar sumpah itu tanggunggan merekalah. Saya tidak boleh jadi hakim menghukum apa-apa. Fasal itu antara dia dan tuhan.

“Jadi oleh sebab itu penting bagi kita bila sudah bersumpah, kita pegang dengan apa yang telah kita sumpah,” kata Muhyiddin dalam sidang akhbar.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu hari ini hadir dan menyaksikan kesemua 56 calon PN berikrar dan menandatangani Aku Janji Intergiriti Calon PN PRN Johor.

Calon Islam memulakan ikrar dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim wallahiwabillahiwatallahi.

“Ini berat sebenarnya sebagai seorang Islam kalau saya sudah bersumpah sebegitu saya langgar takut saya bahkan akan ada hukum Allah jatuhkan kepada kita.

“Sebab itu kita berbuat begitu supaya menunjukkan kepada rakyat di negeri Johor kesediaan kita sebagai tanda kesungguhan kita untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa penyelewangan dan sebagainya

“Kalau nak bentuk sebagai sebuah kerajaan penting kerajaan yang kita mahu bentuk kerajaan yang berintegriti,” katanya.

Dalam akur janji itu calon antara lain berikrar mematuhi sepenuhnya undang-undang seperti mana diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta Sprm 2009) dan undang-undang yang berkaitan semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor.

Mereka juga berikrar akan menolak sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam mencegah sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Calon turut beraku janji tidak akan melibatkan diri dalam sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, sama ada secara langsung dan sentiasa memelihara integriti peribadi  dan parti Perikatan Nasional.

Mereka juga berikrar akan meleporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan segera sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang dalam pengetahuan kami atau yang melibatkan kakitangan di bawah di bawah seliaan mereka.-MalaysiaGazette.