Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Ikrar dan Tandatangan Aku Janji Integriti Calon Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Impianan Hotel Senai, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Kehadiran orang awam yang ramai mengerumuni pemimpin yang datang berkunjung semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan bererti rakyat suka terhadap pemimpin berkenaan.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin kehadiran orang ramai hanyalah mahu melihat muka pemimpin terbabit dari dekat.

“Biasalah siapa datang pun, ada yang suka datang, ada yang tidak suka datang. Nak tengok dekat-dekat betul ke dia ini perompak. Betul ke dia ini sudah dijatuhkan hukuman.

“Jadi jangan kita andaikan ramai yang datang itu kerana suka, ramai yang datang nak tengok muka sebenar. Adakah ini orang yang telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun denda RM200 juta yang terbabit dalam kes SRC.

“Orang ini yang ulang alik naik dan turun mahkamah perbicaraan belum selesai. Orang ini telah disabitkan dengan apa yang berlaku di mahkamah di Amerika Syarikat dan dibicarkan. Bagi saya ini perkara yang amat memalukan,” kata Muhyiddin dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu ditanya mengenai kehadiran beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan amalan rasuah dan korupsi serta telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Tanpa menamakan mana-mana pemimpin, Muhyiddin berkata, pemimpin terbabit tidak sepatutnya berasa seronok dan patut berasa malu.

Bagaimanapun seorang pemimpin Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak yang kini berhadapan dengan tuduhan di mahkamah antara yang mendapat perhatian penduduk di Johor.

Kehadiran Najib di kawasan yang berhadapan dengan pilihan raya disambut bagaikan superstar dengan penduduk berbual mesra, melayan dan bergambar dengan bekas perdana menteri itu.

Muhyiddin sebelum itu menyaksikan 56 calon parti Perikatan Nasional (PN) mengangkat sumpah dan menandatangani akuan integriti  sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Angkat sumpah tersebut bertujuan menunjukkan kesungguhan PN untuk membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti dengan wakil rakyat yang terpilih nanti menolak rasuah dan salah guna kuasa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast